Thursday, January 31, 2008

Struktur perundangan dan pentadbiran tanah di Malaysia

Struktur perundangan berkaitan hal ehwal tanah

Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 74 dan Senarai 2 (Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan memperuntukkan bahawa urusan tanah termasuk di bawah bidangkuasa perundangan dan pentadbiran kerajaan negeri. Namun demikian, Perkara 76(4) secara khusus memberi kuasa kepada kerajaan Persekutuan melalui Parlimen untuk membuat undang-undang yang berkaitan dengan tanah bagi tujuan penyelarasan dan persamaan undang-undang. Oleh yang demikian kerajaan Persekutuan telah menggunakan kuasa ini dengan memperkenalkan beberapa undang-undang berkaitan dengan tanah seperti Kanun Tanah Negara.

Di samping itu terdapat juga undang-undang persekutuan lain yang berkaitan dengan urusan tanah, seperti Akta Pengambilan Tanah 1984, Akta Hak Milik Strata 1985, Akta Kawalan Sewa 1966 (telah dimansuhkan melalui Akta Kawalan Sewa (Pemansuhan) 1997) dan Akta KTN (Hak Milik Tanah Pulau Pinang dan Melaka) 1963. Namun demikian, terdapat juga undang-undang negeri yang berkaitan dengan tanah terus kekal berkuatkuasa di bawah bidangkuasa kerajaan negeri terutamanya enakmen-enakmen yang berkaitan dengan tanah rizab Melayu.

Struktur pentadbiran hal ehwal tanah

Walau pun kuasa perundangan berkaitan dengan tanah secara umumnya telah diambil alih oleh kerajaan Persekutuan, kuasa pentadbiran tanah masih kekal di tangan kerajaan negeri. Seksyen 40 KTN secara jelas memperuntukkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mempunyai hak ke atas semua tanah yang termasuk di dalam sempadan negeri masing-masing. PBN diberi kuasa untuk melupuskan tanah tersebut mengikut kaedah yang ditetapkan oleh undang-undang seperti KTN, Enakmen Perlombongan (Cap 147) dan Akta Perhutanan Negara 1984. Segala urusan pentadbiran yang berkaitan dengan tanah juga perlu dilakukan melalui kuasa PBN.

Istilah PBN merujuk kepada Raja atau Gebenor yang perlu bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Negeri di dalam melaksanakan tugas dan kuasa yang ditetapkan oleh KTN. Dari sudut pentadbiran, setiap negeri terdapat Jabatan Tanah dan Galian Negeri yang menguruskan segala urusan berkaitan dengan pentadbiran tanah seperti pelupusan, pendaftaran urusniaga, meluluskan kaveat, menguruskan pengambilan tanah dan lain-lain. Jabatan ini juga diwujudkan di peringkat daerah bagi memudahkan urusan pentadbiran tanah yang dikenali sebagai Pejabat Tanah Daerah.

Di samping itu, kerajaan Persekutuan berperanan sebagai penasihat dan penyelaras kepada kerajaan negeri. Tanggungjawab ini dilaksanakan melalui peranan Majlis Tanah Negara yang ditubuhkan melalui Perlembagaan Persekutuan. Majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ini turut dianggotai oleh semua Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia berperanan sebagai penyelaras dan penasihat kepada kerajaan negeri di dalam menentukan kelicinan perjalanan pentadbiran tanah. Di samping itu ia juga berkuasa meluluskan sebarang cadangan untuk meminda undang-undang berkaitan dengan tanah.

Bagi melancarkan penyelarasan urusan tanah di peringkat Persekutuan, terdapat Jabatan Tanah Persekutuan di bawah Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi. Jabatan Tanah Persekutuan ini berkerjasama rapat dengan agensi berkaitan di peringkat negeri seperti Jabatan Tanah dan Galian Negeri dalam melaksanakan peranannya.

PENGENALAN UNDANG-UNDANG TANAH

1.1 Sejarah dan latarbelakang undang-undang tanah

Pada hari ini undang-undang tanah di Malaysia pada umumnya berasaskan Sistem Torren yang diperkenalkan oleh penjajah British. Undang-undang ini dilaksanakan melalui Kanun Tanah Negara 1965(KTN). KTN berkuatkuasa di seluruh negara kecuali di Sabah dan Sarawak. Sebelum penjajahan British, negeri-negeri Melayu sudah memiliki sistem perundangan yang tersendiri berasaskan undang-undang adat dan Islam. Oleh yang demikian, sejarah perkembangan undang-undang tanah di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pemakaian undang-undang Islam dan adat dan fasa pemakaian undang-undang Inggeris.

Pemakaian undang-undang Islam dan adat

Sebelum kedatangan penjajah, negeri-negeri Melayu mengamalkan undang-undang adat yang terdiri dari adat temenggung dan adat perpatih. Adat perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan beberapa daerah di Melaka, sementara negeri-negeri lain mengamalkan adat temenggung.

Apabila Tanah Melayu menerima pengaruh Islam pada abad ke 15, undang-undang Islam berkaitan dengan tanah mula diterimapakai di negeri-negeri Melayu. Kedatangan Islam ini menjadikan undang-undang tanah adat yang diamalkan di negeri-negeri Melayu disesuaikan dengan hukum Islam. Perlaksanaan undang-undang Islam di dalam undang-undang tanah terserlah melalui kenyataan Maxwell HB di dalam kes Sharip lwn Mitchell (1870) Leic. 466:

‘Sudah diketahui umum iaitu mengikut undang-undang Melayu lama atau undang-undang adat Melaka bahawa raja memiliki semua tanah di dalam negeri; setiap orang berhak mengerjakan dan menduduki tanah hutan dan tanah mati tertakluk kepada syarat menyerahkan satu persepuluh daripada hasil tanah itu kepada raja’

Konsep yang dinyatakan di atas bertepatan dengan prinsip undang-undang tanah Islam seperti yang berkaitan dengan hukum pemilikan tidak mutlak, hukum menghidupkan tanah yang mati (ihya’ al-mawat), hukum satu persepuluh cukai tanah (‘usyur). Di samping itu ciri-ciri lain undang-undang tanah adat seperti kuasa raja untuk mengambil kembali tanah yang tidak diusahakan, konsep harta sepencarian dan jualjanji juga menepati menepati ajaran Islam. Tegasnya, sebelum zaman penjajahan Barat, negeri-negeri di tanah Melayu telah mengamalkan undang-undang tanah adat yang berasaskan syariat Islam.

Perlaksanaan undang-undang Islam ini berakhir apabila penjajah British memperkenalkan undang-undang yang diimport dari luar. Di Melaka undang-undang tanah adat dimansuhkan dengan perlaksanaan sistem suratikatan Inggeris pada tahun 1861. Di negeri-negeri Melayu Bersekutu perlaksanaan undang-undang tanah adat ditamatkan melalui sistem Residen dan penguatkuasaan Peraturan Tanah Am seawal tahun 1882. Sementara di Negeri-negeri Tidak Bersekutu perlaksanaan undang-undang Islam dan adat berakhir dengan penguatkuasaan Enekmen Tanah bermula pada 1909 di Kedah.


Pemakaian undang-undang Inggeris

Pada era penjajahan British, negeri-negeri di Malaysia berada dalam empat sistem sosio-politik yang berbeza iaitu, Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB), Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB) dan Negeri-negeri di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Setiap kelomok negeri ini mengalami perubahan undang-undang tanah berbeza.

Bagi Negeri-negeri Selat, perlaksanaan undang-undang common law Inggeris dan ekuiti bermula melalui Piagam Keadilan yang pertama, untuk Pulau Pinang pada tahun 1807. Melaka dan Singapura pula tertakluk kepada undang-undang Inggeris mulai tahun 1826 melalui Piagam Keadilan yang kedua. Piagam-piagam Keadilan ini telah menyebabkan Negeri-negeri Selat menerimapakai undang-undang tanah yang berasaskan sistem Suratikatan Inggeris (English Deed system). Sistem suratikatan ini terus diterimapakai sehingga ia dimansuhkan melalui Akta Kanun Tanah Negara (Hak Milik Pulau Pinang dan Melaka) 1963, dan digantikan dengan sistem Torren melalui penguatkuasaan Kanun Tanah Negara 1965 (KTN).

Bagi NMB, undang-undang Inggeris secara umumnya mula berkuatkuasa melalui sistem Residen bermula di Perak melalui Perjanjian Pangkor pada tahun 1873. Secara khususnya, undang-undang tanah yang berasaskan sistem Torren mula dilaksanakan oleh British bermula di Selangor pada tahun 1882 melalui Peraturan Tanah Am. British melaksanakan sistem Torren melalui beberapa peringkat:

1. Peraturan Tanah Am yang seragam dan dikuatkuasakan di Selangor (1882), Negeri Sembilan (1887), Pahang (1888) dan Perak (1897).
2. Peraturan Pendaftaran Hak Milik yang seragam dan dilaksanakan di Selangor (1891), Perak dan Pahang (1897) dan Negeri Sembilan (1898)
3. Enakmen Tanah NMB 1911 dan Enakmen Pendaftaran Hak Milik NMB 1911 berkuatkuasa dan memansuhkan semua undang-undang negeri yang berasingan terdahulu.
4. Kanun Tanah 1928 yang memansuhkan kedua-dua enakmen terdahulu.

Kanun Tanah 1928 ini terus berkuatkuasa di semua NMB sehingga ia dimansuhkan melalui penguatkuasaan Kanun Tanah Negara 1965.

Bagi NMTB, penguasaan British melalui perlantikan Penasihat di Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula pada tahun 1909 melalui perjanjian antara British dan Siam. Undang-undang tanah Inggeris yang berasaskan sistem Torren diperkenalkan secara berasingan di negeri-negeri berkenaan. Undang-undang tersebut adalah Enakmen Tanah 1910 di Johor, Enakmen Tanah 1906 (dipinda pada tahun 1912) dan Enakmen Konsesi 1909 di Kedah, Enakmen Tanah 1926 di Kelantan, Enakmen Tanah 1929 di Terengganu dan Enakmen Tanah 1938 di Perlis. Enakmen-enakmen terus berkuatkuasa di negeri masing-masing sehigga ia dimansuhkan melalui penguatkuasaan Kanun Tanah Negara 1965.

Bagi Sabah dan Sarawak, Inggeris turut memperkenalkan undang-undang tanah melalui penguatkuasaan beberapa ordinan. Sehingga kini kedua-dua negeri ini melaksanakan undang-undang tanah yang berasingan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Sarawak mempunyai undang-undang sendiri iaitu Kanun Tanah Sarawak (Cap 81) yang juga berasaskan sistem Torren. Namun demikian, Sabah tertakluk kepada Ordinan Tanah Sabah (Cap 68) yang tidak berasaskan sistem Torren.

Kedudukan Undang-undang Tanah Sekarang

Pada hari ini terdapat tiga undang-undang tanah yang berbeza di negeri-negeri di Malaysia berdasarkan latarbelakang sejarah. Pertama, Kanun Tanah Negara 1965 yang berkuatkuasa di seluruh Semenanjung Malaysia, Kanun Tanah Sarawak (Cap 81) untuk Sarawak dan Ordinan Tanah Sabah (Cap 68) untuk Sabah. Bagi menyesuaikan perlaksanaan KTN dengan undang-undang tanah berasaskan sistem suratikatan yang sedia ada di Pulau Pinang dan Melaka maka Parlimen telah meluluskan satu undang-undang penyelarasan yang dikenali sebagai Akta KTN (Hak Milik Pulau Pinang dan Melaka) 1963 yang hanya berkuatkuasa di dua negeri terbabit.

Semua negeri termasuk Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak mengamalkan sistem Torren kecuali Sabah. Oleh yang demikian prinsip-prinsip sistem Torren terutamanya prinsip hak milik tidak boleh sangkal tidak berkuatkuasa di Sabah.

Wednesday, January 30, 2008

STRUKTUR MAHKAMAH

Kenapa perlu hairaki mahkamah?

• Untuk membolehkan proses rayuan
• Untuk mengetahui ketetapan yang muktamad dan mengikat antara mahkamah-mahkamah
• Mewujudkan pengagihan tugas mengikut bentuk kes dan keseriusannya
• Memudahkan pentadbiran dan pengurusan kewangan

Bentuk bidangkuasa:

• Bidangkuasa asal
• Bidangkuasa rayuan
• Bidangkuasa rujukan (P. 84)
• Bidangkuasa penasihatan( P. 130)

Hieraki Mahkamah

Mahkamah Persekutuan


Mahkamah Rayuan


Mahkamah Tinggi


Mahkamah Sesyen


Mahkamah Magistret


Mahkamah Penghulu (Semenanjung sahaja)

PENGENALAN UNDANG-UNDANG

1.1 Maksud undang-undang

Undang-undang adalah satu set peraturan sah yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa ke atas rakyat. Ia boleh wujud samada dalam bentuk bertulis atau tidak. Setiap undang-undang hanya sah jika ia di kuatkuasakan oleh pemerintah yang sah. Oleh yang demikian pada dasarnya undang-undang wujud melalui kuasa yang ada pada pemerintah di dalam sesebuah negara berdaulat.


1.2 Keperluan kepada undang-undang

Secara ringkasnya undang-undang mempunyai peranan berikut:

1. Untuk menegakkan keadilan.
Undang-undang diperlukan oleh manusia untuk memastikan setiap orang mendapat hak mereka masing-masing. Di samping itu setiap orang yang melakukan kesalahan pula perlu dihukum dengan sewajarnya.

2. Mempertahankan hak asasi manusia.
Setiap manusia yang dilahirkan mempunyai hak asasi tertentu seperti hak untuk hidup bebas, bersuara, bergerak, berpersatuan, beragama dan lain-lain. Hak-hak ini hanya boleh dilindungi jika ada peraturan yang mempertahankannya.

3. Mengatur sistem pemerintahan negara.
Sesebuah negara perlukan penyusunan tertentu dalam pemerintahan. Undang-undang berperanan untukl menentukan bentuk pemerintahan, kaedah pemilihan pemimpin, hubungan antara institusi perundangan dan pentadbiran serta kehakiman, kaedah pengagihan kewangan dan sebagainya.

4. Mengatur sistem sosial masyarakat.
Oleh kerana manusia adalah makhluk sosial yang sentiasa perlukan antara satu sama lain, maka undang-undang adalah penting unrtuk menyusun peraturan sosial. Ini termasuk peraturan berkaitan dengan perjanjian, urusniaga, persyarikatan, perkongsian, jual beli dan sebagainya.

5. Mewujudkan keamanan dan keharmonian. Undang-undang juga penting sebagai elemen yang dapat menggalakkan suasana harmoni dan aman melalui unsur kawalan dan imbangan di antara masyarakat.