Thursday, January 31, 2008

Struktur perundangan dan pentadbiran tanah di Malaysia

Struktur perundangan berkaitan hal ehwal tanah

Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 74 dan Senarai 2 (Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan memperuntukkan bahawa urusan tanah termasuk di bawah bidangkuasa perundangan dan pentadbiran kerajaan negeri. Namun demikian, Perkara 76(4) secara khusus memberi kuasa kepada kerajaan Persekutuan melalui Parlimen untuk membuat undang-undang yang berkaitan dengan tanah bagi tujuan penyelarasan dan persamaan undang-undang. Oleh yang demikian kerajaan Persekutuan telah menggunakan kuasa ini dengan memperkenalkan beberapa undang-undang berkaitan dengan tanah seperti Kanun Tanah Negara.

Di samping itu terdapat juga undang-undang persekutuan lain yang berkaitan dengan urusan tanah, seperti Akta Pengambilan Tanah 1984, Akta Hak Milik Strata 1985, Akta Kawalan Sewa 1966 (telah dimansuhkan melalui Akta Kawalan Sewa (Pemansuhan) 1997) dan Akta KTN (Hak Milik Tanah Pulau Pinang dan Melaka) 1963. Namun demikian, terdapat juga undang-undang negeri yang berkaitan dengan tanah terus kekal berkuatkuasa di bawah bidangkuasa kerajaan negeri terutamanya enakmen-enakmen yang berkaitan dengan tanah rizab Melayu.

Struktur pentadbiran hal ehwal tanah

Walau pun kuasa perundangan berkaitan dengan tanah secara umumnya telah diambil alih oleh kerajaan Persekutuan, kuasa pentadbiran tanah masih kekal di tangan kerajaan negeri. Seksyen 40 KTN secara jelas memperuntukkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mempunyai hak ke atas semua tanah yang termasuk di dalam sempadan negeri masing-masing. PBN diberi kuasa untuk melupuskan tanah tersebut mengikut kaedah yang ditetapkan oleh undang-undang seperti KTN, Enakmen Perlombongan (Cap 147) dan Akta Perhutanan Negara 1984. Segala urusan pentadbiran yang berkaitan dengan tanah juga perlu dilakukan melalui kuasa PBN.

Istilah PBN merujuk kepada Raja atau Gebenor yang perlu bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Negeri di dalam melaksanakan tugas dan kuasa yang ditetapkan oleh KTN. Dari sudut pentadbiran, setiap negeri terdapat Jabatan Tanah dan Galian Negeri yang menguruskan segala urusan berkaitan dengan pentadbiran tanah seperti pelupusan, pendaftaran urusniaga, meluluskan kaveat, menguruskan pengambilan tanah dan lain-lain. Jabatan ini juga diwujudkan di peringkat daerah bagi memudahkan urusan pentadbiran tanah yang dikenali sebagai Pejabat Tanah Daerah.

Di samping itu, kerajaan Persekutuan berperanan sebagai penasihat dan penyelaras kepada kerajaan negeri. Tanggungjawab ini dilaksanakan melalui peranan Majlis Tanah Negara yang ditubuhkan melalui Perlembagaan Persekutuan. Majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ini turut dianggotai oleh semua Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia berperanan sebagai penyelaras dan penasihat kepada kerajaan negeri di dalam menentukan kelicinan perjalanan pentadbiran tanah. Di samping itu ia juga berkuasa meluluskan sebarang cadangan untuk meminda undang-undang berkaitan dengan tanah.

Bagi melancarkan penyelarasan urusan tanah di peringkat Persekutuan, terdapat Jabatan Tanah Persekutuan di bawah Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi. Jabatan Tanah Persekutuan ini berkerjasama rapat dengan agensi berkaitan di peringkat negeri seperti Jabatan Tanah dan Galian Negeri dalam melaksanakan peranannya.

No comments: