Thursday, January 31, 2008

PENGENALAN UNDANG-UNDANG TANAH

1.1 Sejarah dan latarbelakang undang-undang tanah

Pada hari ini undang-undang tanah di Malaysia pada umumnya berasaskan Sistem Torren yang diperkenalkan oleh penjajah British. Undang-undang ini dilaksanakan melalui Kanun Tanah Negara 1965(KTN). KTN berkuatkuasa di seluruh negara kecuali di Sabah dan Sarawak. Sebelum penjajahan British, negeri-negeri Melayu sudah memiliki sistem perundangan yang tersendiri berasaskan undang-undang adat dan Islam. Oleh yang demikian, sejarah perkembangan undang-undang tanah di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pemakaian undang-undang Islam dan adat dan fasa pemakaian undang-undang Inggeris.

Pemakaian undang-undang Islam dan adat

Sebelum kedatangan penjajah, negeri-negeri Melayu mengamalkan undang-undang adat yang terdiri dari adat temenggung dan adat perpatih. Adat perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan beberapa daerah di Melaka, sementara negeri-negeri lain mengamalkan adat temenggung.

Apabila Tanah Melayu menerima pengaruh Islam pada abad ke 15, undang-undang Islam berkaitan dengan tanah mula diterimapakai di negeri-negeri Melayu. Kedatangan Islam ini menjadikan undang-undang tanah adat yang diamalkan di negeri-negeri Melayu disesuaikan dengan hukum Islam. Perlaksanaan undang-undang Islam di dalam undang-undang tanah terserlah melalui kenyataan Maxwell HB di dalam kes Sharip lwn Mitchell (1870) Leic. 466:

‘Sudah diketahui umum iaitu mengikut undang-undang Melayu lama atau undang-undang adat Melaka bahawa raja memiliki semua tanah di dalam negeri; setiap orang berhak mengerjakan dan menduduki tanah hutan dan tanah mati tertakluk kepada syarat menyerahkan satu persepuluh daripada hasil tanah itu kepada raja’

Konsep yang dinyatakan di atas bertepatan dengan prinsip undang-undang tanah Islam seperti yang berkaitan dengan hukum pemilikan tidak mutlak, hukum menghidupkan tanah yang mati (ihya’ al-mawat), hukum satu persepuluh cukai tanah (‘usyur). Di samping itu ciri-ciri lain undang-undang tanah adat seperti kuasa raja untuk mengambil kembali tanah yang tidak diusahakan, konsep harta sepencarian dan jualjanji juga menepati menepati ajaran Islam. Tegasnya, sebelum zaman penjajahan Barat, negeri-negeri di tanah Melayu telah mengamalkan undang-undang tanah adat yang berasaskan syariat Islam.

Perlaksanaan undang-undang Islam ini berakhir apabila penjajah British memperkenalkan undang-undang yang diimport dari luar. Di Melaka undang-undang tanah adat dimansuhkan dengan perlaksanaan sistem suratikatan Inggeris pada tahun 1861. Di negeri-negeri Melayu Bersekutu perlaksanaan undang-undang tanah adat ditamatkan melalui sistem Residen dan penguatkuasaan Peraturan Tanah Am seawal tahun 1882. Sementara di Negeri-negeri Tidak Bersekutu perlaksanaan undang-undang Islam dan adat berakhir dengan penguatkuasaan Enekmen Tanah bermula pada 1909 di Kedah.


Pemakaian undang-undang Inggeris

Pada era penjajahan British, negeri-negeri di Malaysia berada dalam empat sistem sosio-politik yang berbeza iaitu, Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB), Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB) dan Negeri-negeri di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Setiap kelomok negeri ini mengalami perubahan undang-undang tanah berbeza.

Bagi Negeri-negeri Selat, perlaksanaan undang-undang common law Inggeris dan ekuiti bermula melalui Piagam Keadilan yang pertama, untuk Pulau Pinang pada tahun 1807. Melaka dan Singapura pula tertakluk kepada undang-undang Inggeris mulai tahun 1826 melalui Piagam Keadilan yang kedua. Piagam-piagam Keadilan ini telah menyebabkan Negeri-negeri Selat menerimapakai undang-undang tanah yang berasaskan sistem Suratikatan Inggeris (English Deed system). Sistem suratikatan ini terus diterimapakai sehingga ia dimansuhkan melalui Akta Kanun Tanah Negara (Hak Milik Pulau Pinang dan Melaka) 1963, dan digantikan dengan sistem Torren melalui penguatkuasaan Kanun Tanah Negara 1965 (KTN).

Bagi NMB, undang-undang Inggeris secara umumnya mula berkuatkuasa melalui sistem Residen bermula di Perak melalui Perjanjian Pangkor pada tahun 1873. Secara khususnya, undang-undang tanah yang berasaskan sistem Torren mula dilaksanakan oleh British bermula di Selangor pada tahun 1882 melalui Peraturan Tanah Am. British melaksanakan sistem Torren melalui beberapa peringkat:

1. Peraturan Tanah Am yang seragam dan dikuatkuasakan di Selangor (1882), Negeri Sembilan (1887), Pahang (1888) dan Perak (1897).
2. Peraturan Pendaftaran Hak Milik yang seragam dan dilaksanakan di Selangor (1891), Perak dan Pahang (1897) dan Negeri Sembilan (1898)
3. Enakmen Tanah NMB 1911 dan Enakmen Pendaftaran Hak Milik NMB 1911 berkuatkuasa dan memansuhkan semua undang-undang negeri yang berasingan terdahulu.
4. Kanun Tanah 1928 yang memansuhkan kedua-dua enakmen terdahulu.

Kanun Tanah 1928 ini terus berkuatkuasa di semua NMB sehingga ia dimansuhkan melalui penguatkuasaan Kanun Tanah Negara 1965.

Bagi NMTB, penguasaan British melalui perlantikan Penasihat di Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula pada tahun 1909 melalui perjanjian antara British dan Siam. Undang-undang tanah Inggeris yang berasaskan sistem Torren diperkenalkan secara berasingan di negeri-negeri berkenaan. Undang-undang tersebut adalah Enakmen Tanah 1910 di Johor, Enakmen Tanah 1906 (dipinda pada tahun 1912) dan Enakmen Konsesi 1909 di Kedah, Enakmen Tanah 1926 di Kelantan, Enakmen Tanah 1929 di Terengganu dan Enakmen Tanah 1938 di Perlis. Enakmen-enakmen terus berkuatkuasa di negeri masing-masing sehigga ia dimansuhkan melalui penguatkuasaan Kanun Tanah Negara 1965.

Bagi Sabah dan Sarawak, Inggeris turut memperkenalkan undang-undang tanah melalui penguatkuasaan beberapa ordinan. Sehingga kini kedua-dua negeri ini melaksanakan undang-undang tanah yang berasingan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Sarawak mempunyai undang-undang sendiri iaitu Kanun Tanah Sarawak (Cap 81) yang juga berasaskan sistem Torren. Namun demikian, Sabah tertakluk kepada Ordinan Tanah Sabah (Cap 68) yang tidak berasaskan sistem Torren.

Kedudukan Undang-undang Tanah Sekarang

Pada hari ini terdapat tiga undang-undang tanah yang berbeza di negeri-negeri di Malaysia berdasarkan latarbelakang sejarah. Pertama, Kanun Tanah Negara 1965 yang berkuatkuasa di seluruh Semenanjung Malaysia, Kanun Tanah Sarawak (Cap 81) untuk Sarawak dan Ordinan Tanah Sabah (Cap 68) untuk Sabah. Bagi menyesuaikan perlaksanaan KTN dengan undang-undang tanah berasaskan sistem suratikatan yang sedia ada di Pulau Pinang dan Melaka maka Parlimen telah meluluskan satu undang-undang penyelarasan yang dikenali sebagai Akta KTN (Hak Milik Pulau Pinang dan Melaka) 1963 yang hanya berkuatkuasa di dua negeri terbabit.

Semua negeri termasuk Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak mengamalkan sistem Torren kecuali Sabah. Oleh yang demikian prinsip-prinsip sistem Torren terutamanya prinsip hak milik tidak boleh sangkal tidak berkuatkuasa di Sabah.

1 comment:

abon said...

terbaik bos!! very helpfulll...
im doing my proj kesan penjajahan british terhadap perundangan negara malaysia....
keep it up....